Advertise Here

JB's Colourful Life

- Another Blogger Blog's


Semasa kami sampai di Dubai, rumah kami telah disediakan oleh pihak syarikat tempat Ayang bekerja. Penempatan baru bagi pekerja Drydocks World, Palm Marine dan Platinum Yacht adalah di Building 115, Street 6 A, Discovery Gardens. Appartment kami ialah unit 406, iaitu unit disebelah hujung. Apartment ini ada 2 bilik tidur, 3 bilik air, 1 bilik stor, 1 bilik mesih basuh, ruang tamu, ruang makan dan dapur. Keluasan appartment ini sangat sesuai untuk kami sekeluarga hanya bilik yang disediakan tidak mencukupi. Ini adalah kerana kami mempunyai 2 orang anak perempuan dan 2 orang anak lelaki. Walau bagaimanapun, saya telah menempatkan mereka di bilik tidur utama kerana ruang yang lebih besar. Mereka akan berkongsi bilik tidur yang sama.

Rumah ini adalah kosong semasa kami sampai. Semua perabut kami pilih dan beli sendiri dengan wang yang diberikan oleh syarikat. Kami dapat memilih perabut yang sesuai dengan ruang yang terhad. Kami berasa sangat selesa tinggal di rumah ini. Rumah kami juga disediakan dengan balkoni untuk kami bersantai dan menikmati pemandangan sekeliling bangunan. Rumah kami menghadap padang pasir yang luas dan dihiasi dengan pokok kurma.

Kawasan perumahan ini baru sahaja siap semasa kami pindah. Penghuninya masih belum ramai lagi. Kami ada keluarga kedua yang masuk ke bangunan 115 tersebut. Teksi pun tak tahu macamana nak ke sana. Tetapi lama-kelamaan penduduk pun bertambah dan bila waktu petang ramai kanak-kanak yang bermain di kawasan padang. Seronok juga bila tengok kanak-kanak dari berbagai warna kulit main bersama-sama.


Mula-mula dulu hanya anak kami yang naik bas bila nak ke sekolah dari bangunan tersebut. Semakin lama semakin banyak bas dari sekolah yang berlainan masuk ke kawasan kami. Bas dari sekolah anak kami pun ada 2 buah yang masuk mengambil dan menghantar kanak-kanak di kawasan ini. Oleh yang demikian, kawasan perumahan ini sangat sibuk dengan bas sekolah pada waktu pagi dan tengahari.


Kawasan sekitar Discovery Gardens ni di tanam dengan pokok kurma sebagai landskap selain daripada pokok-pokok bunga. Apabila penghujung musim sejuk, pokok kurma ini berbunga dan buahnya mulai masak pada musim panas. Kami dapat memetik buah kurma yang masak dari pokok. Buah kurma ni kalau belum masak rasanya sangat kelat tetapi apabila buahnya dah tua rasanya sangat sedap. Buahnya rangup dan rasanya pahit-pahit manis. Kami rasa puas dapat petik buah kurma dan makan buah kurma segar. Pengalaman yang tak dapat kami lupakan.

Discovery Garden adalah kawasan perumahan yang baru dibuka. Kedai runcit dan masjid belum ada lagi. Kedai untuk membeli barangan dapur paling dekat lebih kurang 5 km dan masjid paling dekat lebih kurang 4 km. Kami terpaksa berjalan kaki untuk pergi dan balik ke kedai atau ke masjid. Kalau musim panas berjalan kaki sejauh 10 km ...rasa macam nak menangis juga. Tetapi masa tu kami tak ada kereta. Teksi tak mahu hantar sebab terlalu dekat dan bas pun belum masuk ke kawasan ini. Kalau cerita pasal teksi ni...rasa macam nak balik duduk Malaysia. Bayangkan lah, kami membeli barang dengan banyak sekali dari kedai terdekat dan telah beratur menunggu teksi. Bila tiba giliran teksi kami...kami terus masukkan barang kedalam teksi tersebut. Bila dah duduk dalam teksi tu kami pun menyuruh pemandu teksi menghantar kami ke Discovery Garden. Dia terus turunkan semula barang kami dan katanya terlalu dekat untuk dia pergi dan tambangnya murah. Kami pun hairan juga, kami dah masukkan barang ke dalam keretanya dan dia sanggup untuk menolong kami keluarkan semula barang-barang tersebut. MasyaAllah hanya Allah yang tahu betapa sedihnya kami pada waktu itu. Selepas peristiwa ini kami tak pernah lagi naik teksi, walaupun kami membeli barang yang banyak kami akan jalan kaki untuk balik ke rumah. Lama- kelamaan perjalanan 10 km itu sudah menjadi kebiasaan bagi kami sekeluarga. Alah bisa tegal biasa. Alhamdulillah....


Apabila Ayang sudah mendapat lesen memandu dan sudah mempunyai kereta...ramai pemandu teksi yang berhenti bila kami jalan kaki pada waktu petang. Pada masa itu kami tak perlu lagi pada pemandu teksi. Kami juga sudah mempunyai stamina yang cukup untuk berjalan kaki pada jarak jauh walaupun lebih dari 10 km. Pengajaran buat pemandu teksi semua..jangan terlalu tamak sebab orang yang tamak akan selalu rugi macam anjing dengan bayang-bayang.

Sekarang, Discovery Gardens sudah meriah. Supermarket dan kedai runcit pun sudah dibuka. Restoran dan masjid juga ada. Jalanraya pun mulai sibuk. Hotel-hotel pun ada juga. Tapi kami sudah meninggalkan Discovery Gardens

0 comments:

Post a Comment