Advertise Here

JB's Colourful Life

- Another Blogger Blog's


Saya dilahirkan pad 10hb Jun 1966 di Kampung Padang A Astana Raja, Kota, Negeri Sembilan. Mak dan abah namakan saya Jamilah kerana semasa mereka belajar disekolah orang dewasa, dalam buku ada menyebut "Jamilah adalah seorang budak yang cantik lagi rajin" maka mak saya pun terus menamakan saya Jamilah. Saya berpendapat memang mak dan abah saya betul...saya memang rajin. Rajin dalam segala hal. Hanya cantik tu saya rasa subjektif sikit sebab saya hanya cantik pada pandangan manusia tertentu sahaja.

Orang-orang dikampung saya memang tidak mengenali saya kerana sejak berumur 12 tahun saya sudah merantau. Saya telah berhijrah ke Seremban pada tahun 1979 untuk menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said. Pada tahun 1984 saya telah memyambung pelajaran saya ke Kolej Islam Kelang. Seterusnya pada tahun 1986 saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa. Tahun 1986 adalah pengambilan ke empat bagi pelajar sarjana muda di UIA.

Oleh yang demikian saya memang tidak menetap di kampung saya. Kawan-kawan di sekolah rendah juga saya sudah lupa namanya. Nantilah, saya akan cari mereka kerana mereka adalah merupakan kawan-kawan saya yang pertama. Antara kawan-kawan sekolah rendah yang masih saya ingat ialah Faridah Doya, Hanita Mohamad, Nirwana Mohamad Rashid, Mohd Hanafiah Jalil dan ramai lagi......

Selepas menamatkan pengajian di UIA...saya terus mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor. Semasa menunggu keputusan peperiksaan STPM, saya telah mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Klang 2. Saya merasakan berkhidmat sebagai tenaga pengajar ini amatlah sesuai untuk wanita. Saya dapati sepanjang pengalaman saya mengajar, kebanyakan guru adalah wanita dan kalau ada pun guru lelaki adalah Pengetua atau Guru Besar. Paling tidak pun guru lelaki adalah guru disiplin. Saya kurang pasti mengapa begini keadaannya.

Semasa mengajar di Sungai Besar, saya telah menyewa sebuah rumah teres setingkat. Jiran sebelah kanan saya, Kak Yam dan Arwah Abang Shahril manakala jiran sebelah kiri, Kak Suria dan Abang Jamaludin. Saya telah mendapat dua keluarga angkat iaitu keluarga Tok Sidang Parit 2 Timur dan keluarga Pak Noneng dan Mak Noneng. Mereka amat prihatin pada kebajikan saya semasa saya berada di sana. Saya rasa bertuah kerana dapat bertugas di kawasan kampung. Saya masih lagi melawat mereka di Sungai Besar jika ada kelapangan.

Guru-guru tempat saya mengajar adalah baik-baik belaka. Kak ina ( Zarina Ahmad Zainuddin) masih lagi berhubung dengan saya hingga sekarang. Kak Esah, Kak Leha, Cikgu Munshi , Cikgu Haris Wagiman (kalau tak salah), Cikgu Tailawati dan ramai lagi. Semuanya terputus hubungan dengan saya sekarang. Saya doakan semua rakan-rakan yang mengajar di sekolah SMKSB pada tahun 1991, berada dalam keadaan yang sihat walafiat dan dipelihara Allah Taala.

Semasa saya mengajar di SMKSB, saya telah diarahkan untuk mengajar mata pelajaran Ekonomi (untuk Tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas), Perdagangan dan Perakaunan (untuk Tingkatan 4 dan 5). Semasa belajar di UIA saya mengambil kursus dalam bidang Ekonomi bermakna saya tidak ada asas dalam mata pelajaran Perakaunan. Saya amat bertuah kerana saya ada seorang sahabat yang sanggup mengajar saya tentang Perakaunan. Beliau ada seorang pelajar UIA yang mengambil kursus Perakaunan. Beliau dan kawan-kawannya juga adalah kumpulan pertama yang mengambil Kursus Perakaunan di UIA . Beliau akan mengajar saya pada hujung minggu sahaja kerana tempat saya mengajar sangat jauh dari UIA.

Oleh yang demikian saya akan balik ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu untuk belajar Perakaunan sehinggalah saya mahir dalam matapelajaran ini. Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan terima kasih pada sahabat yang baru saya kenali ini iaitu Mohd Shariff bin Ismail. Saya berkenalan dengan beliau adalah disebabkan tugas semasa kami menyertai Projek Bakti Siswa ke Pos Kemar, Perak. Beliau dan juga saya telah ditugaskan untuk menjaga akaun projek tersebut. Oleh kerana beliau pandai dalam matapelajaran berkenaan dan sangat luas pengalaman maka saya telah meminta beliau mengajar saya.

Allah telah merancang segala-galanya. Oleh kerana saya telah berjumpa dengan saudara Mohd Shariff pada setiap minggu maka telah timbul perasaan sayang dan cinta pada beliau. Keadaan telah menyebabkan saya tidak sabar untuk balik ke Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu. Saya juga tida bertepuk sebelah tangan, rupa-rupanya saudara Mohd Shariff juga mempunyai perasaan yang sama. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Selepas kami kembalikan semua ketentuan kepada Allahyang Maha Mengetahui... maka kami pun ditunangkan pada bulan Julai 1991 iaitu bersamaan tarikh Konvokesyen UIAM kali ke 5. Iaitu pada hari Mohd Shariff Ismail menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

Pada majlis tersebut kedua belah keluarga telah bersetuju untuk mengadakan akad nikah pada tarikh 16hb November 1991 dan majlis persandingan pada 17hb November 1991. Maka kami telah diijabkabulkan dengan rasminya dimasa usia saya 25 tahun dan suami berusia 28 tahun. Mulai tarikh ini juga saya menjadi suri sepenuh masa kerana itulah permintaan suami dari awal perkenalan kami. Majlis bertandang di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang telah diadakan pada minggu seterusnya.


Selepas majlis di Pulau Pinang, kami terus pindah ke rumah sewa di Kim Garden, Kelang dengan sewa Rm250 sebulan. Mohd Shariff Ismail telah menyediakan tempat tinggal yang serba lengkap buat kami berdua.Sebuah rumah yang sangat selesa buat saya sebagai isterinya. Mulai saat itu saya menganggap rumah kami adalah Syurga Di dunia dan kami sentiasa hiaskan rumah kami dengan kebaikan semoga rumah ini akan sentiasa dirahmati Allah. Kami berjanji akan menjaga rumahtangga kami sebaik-baiknya dan akan berusaha untuk mengindahkan rumahtangga dengan keharmonian berkeluarga. Bermulalah sebuah perkongsian hidup yang serba ringkas buat kami berdua. Suami bekerja sebagai Audit Executive di Shapadu iaitu jawatan pertama selepas tamat pengajian di Universiti Islam Antarabangsa dengan gaji sebanyak Rm1300 sebulan dan saya bekerja sebagai suri untuk melengkapkan keperluan kehidupan kami. Alhamdulillah...kehidupan kami dilimpahi keredhaan dan rahmat Allah. Semoga kebahagiaan ini berkekalan. Amin

0 comments:

Post a Comment